top of page

Imbas Kad Dapat Mata Ganjaran - Harian Metro 22 Nov 2018



DISIPLIN menjadi pengurusan tingkah laku bagi pelajar sama ada di peringkat rendah atau menengah.


Namun, sistem pendidikan di negara ini biasanya menumpukan kepada kesalahan berbanding amalan positif pelajar.


Di peringkat remaja, pelajar mengalami kekeliruan dan tekanan luar dalam mencari identiti diri mereka sendiri, sekali gus mudah terpengaruh dengan unsur negatif akibat kurangnya atau keterlaluannya penjagaan dan kawalan daripada orang dewasa.

Bagaimana kita boleh mengatasinya dengan penggunaan teknologi?


Sebuah sekolah swasta di Bangi, Selangor berjaya membuktikan penggunaan kod QR mampu meningkatkan displin dalam kalangan pelajar, sekali gus melahirkan individu yang mengejar kebaikan terutama apabila berada dalam sesi persekolahan.

Sekolah terbabit menggunakan sistem StudentQR Points yang dibangunkan syarikat tempatan membolehkan guru memberi merit atau markah berdasarkan sikap positif pelajar di sekolah menggunakan imbasan kod QR yang dipasang pada kad ID pelajar.


Antara merit atau ‘point’ khas seakan memperoleh mata ganjaran ketika mengisi petrol dan sebagainya itu boleh diberikan kepada pelajar termasuk apabila pelajar terbabit membantu guru, datang awal ke sekolah, gotong-royong, menghantar kerja rumah, membaca al-Quran dan sebagainya.

Kesemua merit dan jumlah markah ditentukan sendiri pihak sekolah.


Bebanan guru pula kini lebih ringan apabila mereka hanya perlu mengisi kehadiran dan rekod pelajar dengan lebih pantas tanpa perlu menyalin semula daripada kertas ke komputer di pejabat.

Bukan itu saja, ibu bapa juga boleh memantau setakat mana kemajuan anak mereka di sekolah seperti hafazan al-Quran, bacaan buku, aktiviti sekolah dan sebagainya.

Sekolah swasta, Sekolah Menengah Islam Al-Amin Bangi menjadi sekolah perintis pertama di Asia yang menggunakan sistem StudentQR Points ini.


Menurut Guru Besarnya Ahmad Fadhli Mohd Faudzi, sistem terbabit berjaya meningkatkan prestasi pelajar beliau dengan mendadak.

“Boleh dikatakan, terdapat peningkatan sehingga 75 peratus berbanding sebelum adanya sistem terbabit sebelum ini.

“Pelajar lebih berdisplin dan berlumba-lumba membuat kebaikan dan semuanya direkodkan dengan kemas,” katanya.

Beliau juga menggalakkan sistem ini digunakan juga di sekolah lain.

Pelajar, Muhammad Naufal, 16, memaklumkan, sebelum adanya sistem terbabit, perasaan malas untuk berbuat kebaikan ada namun ia berjaya diatasi dengan aplikasi mengimbas kod StudentsQR Points.

“Nampak macam tak ikhlas, tapi ia permulaan kerana kita berlumba-lumba mengatasi rakan lain untuk mendapat markah.

“Secara tidak langsung, ikhlas itu sendiri akan datang kemudian selepas gembira membuat kebaikan,” katanya.


Seorang lagi pelajar, Muhd Raziq, 16, memberitahu sistem ini menjadikan beliau lebih rajin dari sebelumnya kerana harus bersaing dengan rakan untuk mendapatkan lebih banyak markah daripada guru.

“Misalnya, selepas saya membantu guru, beliau akan mengimbas kad pelajar saya dan memberikan markah tertentu yang pastinya memberi galakan untuk terus berbuat kebajikan,” katanya.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, StudentQR Points meningkatkan prestasi dan disiplin pelajar sehingga 56 peratus.


Malah, sistem ini membolehkan ibu bapa mengetahui aktiviti dan kemajuan anak mereka di sekolah secara masa sebenar.

Melalui kajian selama dua tahun, sistem ini ditambah baik dan mendapat reaksi positif daripada guru, pelajar dan ibu bapa.

StudentQR juga menyokong mod ‘offline’ yang mana aplikasi terbabit masih boleh digunakan jika tiada sambungan Internet dan akan disambungkan ke sistem perkomputeran ‘cloud’ apabila rangkaian Internet dikesan semula.


Menurut pencipta dan pengasas sistem StudentQR Points, Syed Huzaifah Syed Omar, konsep yang sama digunakan sejak 2001 di Amerika Syarikat membabitkan sejumlah 14 juta pelajar dan berjaya meningkatkan prestasi pelajar dengan berkesan.

“Bayangkan kalau kita isi petrol pun dapat mata ganjaran, konsep sama digunakan bagi StudentQR Points mengikut kehendak sekolah masing-masing,” katanya.


Katanya, ada sekolah memberikan ganjaran kepada pelajar yang memperoleh mata tertinggi di penghujung sesi persekolahan.

StudentQR Points dihasilkan melalui syarikat Bumiputera, MyFuturity Global Sdn Bhd diasaskan Syed Huzaifah.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 4:00 AM


https://www.hmetro.com.my/itmetro/2018/11/397322/imbas-kad-dapat-mata-ganjaran?fbclid=IwAR21d3rb5Cx9nNeE6Yh-lgPkSimvTaQWKP3OvZeAoapyAMUy5xw_1n5zh68


21 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page